Selamat Datang Ke "SEGAR BERTAKHTA DI HATI"

Khamis, 18 September 2008

Menahan Marah


Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w. Berwasiatlah kepadaku, Lalu Nabi s.a.w menjawab: Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah. Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab:Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.
Huraian:
1. Umat Islam dituntut supaya meminta nasihat daripada orang yang alim untuk membentuk peribadinya.
2. Islam menghendaki seseorang itu berusaha memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa agar iman dan ketaqwaannya kepada Allah S.W.T semakin meningkat.
3. Hakikat marah menurut Islam ialah marah yang terpuji dan marah yang tercela. Kemarahan yang ditujukan untuk mempertahankan diri, agama, kehormatan, hak atau untuk menolong orang yang dizalimi adalah marah yang dituntut. Sebaliknya yang selain daripada itu adalah marah yang datang daripada sifat-sifat syaitan yang dikeji oleh Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhinya.
4. Sesuatu persoalan atau wasiat yang memerlukan jawapan daripada seseorang, janganlah diminta secara mendesak atau menunjukkan kemarahan, tetapi hendaklah menggunakan tutur kata yang baik, bersopan.

Rabu, 17 September 2008

Tragedi Pembunuhan Pertama


Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Tidak dibunuh satu jiwa secara zalim melainkan ada bahagian darahnya bagi anak Adam yang pertama (Qabil) kerana dialah orang yang mula-mula mengasaskan pembunuhan.”

(al-Bukhari, Muslim, Ibnu Majah & at-Tirmidzi)

Adam dan Hawa serta anak-anak mereka, Qabil dan Habil, Iqlima dan Labuda adalah permulaan sejarah kehidupan manusia di muka bumi. Pembunuhan Qabil ke atas Habil merupakan tragedi pembunuhan pertama manusia ke atas saudaranya sendiri

Bila mana Habil mati dibunuh kerana hasad dengki Qabil lantaran Habil akan dinikahkan dengan Iqlima, saudara kembar Qabil yang cantik dan amat dicintai oleh Qabil. Sesungguhnya punca peristiwa pembunuhan itu berlaku adalah berpunca daripada sifat marah yang kesannya akan berlanjutan sampai kiamat kerana hasil daripada kemarahan itu akan membuahkan sifat munafik, fasik, dan perbuatan jahat lainnya sebagaimana kemarahan Iblis yang memuncak setelah ia mendapat murka Allah sehingga Iblis bersumpah akan menyesatkan Adam a.s dan anak cucunya sampai hari kiamat.


Burung gagak adalah haiwan yang diutuskan Allah untuk mengajar manusia yang bernama Qabil bagaimana untuk mengebumikan jasad Habil yang sudah tak bernyawa,

Tapi pada hari ini, pandangan kita pada burung gagak adalah sesuatu yang menjijikkan,menakutkan dan berbagai lagi pandangan negatif, padahal.. yang membuatkan burung gagak ini dipandang "serong" adalah berpunca daripada kejahilan kita sendiri, memanglah burung gagak dikatakan mengotorkan kawasan,( dah memang dia ni haiwan manala dia tahu nak bersihkan kawasan kita yang bergelar manusia ni).

Sebenarnya punca sesuatu tempat itu menjadi kotor, sampah sarap berterabur adalah kerana kesilapan kita sendiri yang gagal menguruskan sisa buangan kita, lantas menarik perhatian gagak2 ini untuk mencari makanan, serta mengotorkan kawasan tersebut. Yang paling menyedihkan, ada pihak yang sanggup membunuh haiwan ini dek kerana tidak mahu memikirkan lebih mendalam lagi bagaimana untuk menguruskan sisa buangan ini..

Ingatlah.. burung gagak ini hanya mahu mengisi perut yang kosong..
Fikir - fikirkan lah..

Seronoknya..

Semasa saya balik kg masa cuti sekolah lepas, memang kena pada masanya. nak tahu kenapa? masa tu musim buah!!! seronokla hati ni boleh makan buah free, malahan ada yang memang payah nak dapat kat KL ni. Ni adalah "benda" yang boleh dapat percuma je kalau kat kampung, di halaman rumah saya.
Rambutan, semua orang kenal ngan buah ni. Pokok rambutan ni ayah saya yang tanam, buah ni muda lagi, jangan makan yang muda ni, nanti termuntah.. Kelat!!!

Ni buah salak namanya, buahnya cantik kulitnya seakan haiwan tenggiling tu, rasanya pula kelat - kelat manis, sedap ni.. buahnya juga boleh dijeruk.

Pokok misai kucing, ni sejenis pokok herba boleh dijadikan ubat beberapa jenis penyakit, misainya yang seakan - akan misai kucing akan keluar bila pokok ni berbunga, mujur tak macam misai mamak, kalau tak mesti nama pokok ni misai mamak.. hehehehe..
Lada hitam, ni yang muda ni sebab tu la warna dia hijau, yang muda ni sedap dibuat ulam makan ngan nasi.. fuuhh sedap rangup dan pedas2.. tapi tak la sepedas cabai tuu..


Buah mangga.. hasil dari usaha ayah saya yang tanam depan rumah, kejap je.. tup tap tup tap dah berbuah pun.

Buah dokong yang belum masak.. bila cukup masak sedap niii.. hmmm sape berani makan yang muda? saya tabik!!!









Selasa, 9 September 2008

Kewajipan Solat, Sedarkah kita?


Dari Anas r.a katanya:”Nabi Muhammad SAW telah bersabda :...(selain dari apa yang telah aku saksikan semasa aku dibawa israk dan mikraj pada malam itu), maka Allah fardhukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang...lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah SWT berfirman:”Sembahyang fardhu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti...”


( Bukhari )



Jika kita perhatikan mengenai kewajipan ini maka fahamlah kita tentang betapa besarnya ganjaran dan peranan sembahyang di mana sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna mampu mencegah umat Islam daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.


Peringatan Rasulullah S.A.W mengenai sembahyang ini harus dititikberatkan memandangkan sekarang ini ramai kalangan umat Islam yang mengabai dan memandang mudah terhadap sembahyang lima waktu apatah lagi menunaikannya secara berjemaah. Pengaruh keduniaan telah menghantui mereka sehingga sanggup meninggalkannya demi mengejar habuan dunia yang tidak seberapa.

Gambar : Murid Islam tahun 3 sekolah saya sedang mendirikan solat secara berjemaah.

Keberanian


"Dan bersiap sedialah untuk menentang mereka (musuh-musuh yang menceroboh) dari segala jenis kekuatan yang termampu kamu sediakan dari pasukan berkuda yang lengkap, bagi menggerunkan dengan persediaan itu, musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari kalangan mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedangkan Allah mengetahui."

(Surah al-Anfal ayat : 60)

Ahad, 7 September 2008

Baju Melayu



PEMAKAIAN baju Melayu sepasang semakin dilupa atau ditinggalkan oleh generasi muda. Alasan yang sering diberikan ialah panas dan tidak selesa.

Biasanya mereka akan memakai baju Melayu bersama seluar `slack’ atau jeans. Ini akan mencacatkan rupa baju Melayu itu sendiri kerana `dipermodenkan’ sebegitu rupa.

Generasi muda sepatutnya digalakkan agar menggemari dan berbangga memakai baju Melayu bagi mengelakkan pemakaian baju Melayu terus dilupakan.

Apa yang dibimbangkan ialah generasi yang akan datang tidak lagi mengenali baju Melayu yang menjadi pakaian tradisional orang Melayu.

Bagaimanapun, apa yang menggembirakan kini ialah semakin ramai yang memakai baju Melayu sepasang ke pejabat pada setiap hari Jumaat. Meriah dan berwarna-warni apalagi jika dipakai bersama samping.

Selain itu, baju Melayu tetap menjadi pilihan utama bagi digayakan pada pagi Hari Raya Aidilfitri. Si jejaka nampak lebih kacak dan tampan berbaju Melayu.

Terdapat dua pilihan rekaan baju Melayu, iaitu berleher cekak musang dan teluk belanga.

Baju Melayu cekak musang berbutang lima dan cantik disematkan dengan butang baju Melayu daripada batu permata yang sepadan dengan warna baju. Sementara itu, baju Melayu teluk belanga berbutang satu seperti baju kurung Johor.

Pemakaian baju Melayu sepasang tidak kira sama ada semasa menyambut Hari Raya, ke majlis, ke pejabat atau ketika bersembahyang Jumaat lebih menarik jika digayakan bersama samping songket atau tenun.
Dipetik dari akhbar Mingguan 7 September 2008

Sabtu, 6 September 2008

SENYUM


Senyum

Senyum seindah suria
Yang membawa cahya
Senyumlah dari hati
Duniamu berseri

Senyum umpama titian
Dalam kehidupan
Kau tersenyum ku tersenyum
Kemesraan menguntum

Senyum... kepada semua
Senyumanmu amatlah berharga
Senyum... membahagiakan
Dengan senyuman terjalinlah
Ikatan...

Hmmm… saya pasti ramai yang ingat dan memang sukakan lagu ni, termasukla saya, dulu masa kecil2 saya selalu duk nyanyi lagu ni, memang sedap..

Senyum.. suatu yang sememangnya amat disenangi oleh semua orang, betul tak? Bah kan ada yang mengatakan bahawa dengan senyum boleh membuatkan seseorang itu awet muda, ntah la. Saya pun tak pasti sangat benda tu betul atau pun tak.

Tetapi.. saya yakin diantara sifat – sifat yang boleh membukakan hati orang ramai dan menjadikan seseorang itu diterima dan dimesrai ialah sifat manis muka dan tutur kata.

Bagi seorang pendidik, muka adalah petunjuk pada seorang murid, menjadikan cermin yang melantunkan apa yang tersemat dilubuk hatinya. Kiranya kita bermasam muka, keadaan itu menunjukkan seorang yang sempit dada dan mudah keluh kesah tetapi kiranya kita seorang yang sentiasa bermuka manis, keadaan ini akan membayangkan kebaikan.

Kita sebagai umat Islam, mestilah membiasakan diri berwajah ceria sekalipun kita terpaksa melatih diri kita berbuat demikian. Kita juga mestilah membiasakan diri sentiasa tersenyum walau bagaimana yang menderita dan menekan diri kita.

Sekian.. Senyumlahhh…..