Selamat Datang Ke "SEGAR BERTAKHTA DI HATI"

Ahad, 24 Mei 2009

Keutamaan Membaca Surah Al-Baqarah

Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah.” 
  
Riwayat Muslim


 

Huraian :

Rumah adalah sebahagian daripada kesempurnaan nikmat pemberian Allah SWT kepada manusia. Rumah menjadi tempat tinggal, tempat berehat dan banyak lagi manfaat lain yang boleh diperoleh daripadanya. Itulah yang dikatakan Ibnu Katsir ketika mentafsirkan surat An Nahl ayat 80 “Dan Allah menjadikan bagi mu rumah-rumah mu sebagai tempat tinggal”.

Justeru mereka yang dikurniakan kemampuan memiliki rumah sendiri tidak kira besar mahupun kecil perlu mensyukurinya. 


Islam mengajarkan kita tata cara tertentu dalam mendirikan rumah atau menduduki rumah baru iaitu membanyakkan membaca surat Al Baqarah dari ayat pertama sehingga ayat terakhir. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Bacalah surat al- Baqarah di rumah kalian, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak akan memasuki sesebuah rumah yang di dalamnya dibacakan surat al-Baqarah”.

Surah al-Baqarah menceritakan asal usul kejadian manusia, serta asal usul kemurkaan Allah kepada syaitan. Hakikat inilah yang melemahkan syaitan apabila kita membaca surah tersebut. Ia mendedahkan kelemahan mereka dan kehormatan kita yang dilantik oleh Allah SWT sebagai khalifah di dunia.

Dengan membacakan surah al-Baqarah suasana rumah akan menjadi lebih tenang dan akan dijauhi daripada gangguan syaitan. Jangan pula ketika memasuki rumah baru kita membawa masuk segala perkara baru yang bercanggah dengan agama seperti mengamalkan perkara khurafat dan ritual-ritual seperti memanggil dukun dan paranormal agar rumah terhindar daripada gangguan syaitan atau perkara-perkara ghaib.

Semua ini jelas merupakan perbuatan syirik dan mengundang kemurkaan Allah! Ketika di rumah sama ada rumah baru atau yang sudah lama didiami jangan sekali-kali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang syaitan untuk masuk dan tinggal di dalamnya seperti membawa masuk perkara-perkara haram dan maksiat, menyimpan patung berhala dan sebagainya.

Mahukah kita mendiami rumah bersama-sama syaitan? Ketahuilah bahawa syaitan sekali-kali tidak akan pernah berhenti berusaha untuk memasuki rumah orang-orang yang beriman dengan tujuan untuk menyesatkannya.

Selasa, 5 Mei 2009

Pantun Dan Guru



A-B-c dan alif ba-ta
Satu dua tiga dan empat
Selalu cikgu ajar kita
Ditubi-tubi sampai dapat 

Satu dua tiga empat
Lima enam tujuh lapan
Ditubi-tubi sampai dapat
Bila dapat maju ke depan

Lima enam tujuh delapan
Rajin belajar cepat maju
Bila dapat maju ke depan
Terima kasih banyak, Cikgu!

Betik masak lebat di pangkal
Penuh kapal bawa belayar
Baik budi panjang akal
Hormat guru tekun belajar

Manis rasanya buah delima
Masak sebiji di celah daun
Budi guru saya terima
Jadi kenangan bertahun-tahun

Pohon palma tegak berdiri
Ditanam mari tepi bangunan
Ilmu di dunia terus dicari
Jasa guru dilupa jangan

Waktu malam mencincang halia
Masak cencaru berserai wangi
Muris silam patuh setia
Hormat guru serta disayangi

Pergi
memburu ke hutan lama
Dapat rusa di waktu pagi
Kalau ilmu ku dapat sama
Usaha guru ku sanjung tinggi

Pakai baju warna biru
Pergi ke sekolah pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
Kerana guru pembekal ilmu

Orang haji dari Jeddah
Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah
Bagai kerja menolak ombak

sumber : www.swakarya.com

Jumaat, 1 Mei 2009

Tazkirah : Di atas Hamparan Sejadah


                                                               
Nabi s.a.w bersabda: "Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas, iaitu mereka memohon dengan berkata: "Ya Tuhan kami! Ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! Berilah rahmat kepadanya."

Abu Huraiarah r.a


Huraian
Pengajaran Hadith:

i) Sembahyang (solat) dan tempat solat mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah S.W.T.

ii) Orang yang tidak segera meninggalkan tempat ia bersolat selagi ia tidak berhadas dan tidak melakukan perkara yang mendatangkan dosa akan sentiasa didoakan oleh malaikat agar diampuni dosanya dan diberikan rahmat kepadanya.

iii) Islam menyeru umatnya agar sentiasa menjaga solatnya dan mengerjakannya dengan sempurna kerana hanya mereka yang benar-benar layak sahaja akan mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah S.W.T.