Selamat Datang Ke "SEGAR BERTAKHTA DI HATI"

Ahad, 3 Oktober 2010

Tak Kenal Maka Tak Benci


Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam. Iblis Azazil nekad untuk menjadi penderhaka, lalu dia meminta supaya Allah s.w.t. panjangkan umurnya hingga ke hari kiamat iaitu selagi wujudnya manusia.
Dia (Iblis) berkata(Al-Israk:62):
“Terangkan kepadaku inikah orang yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, nescaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.” Permintaannya diperkenankan. Allah s.w.t. murka kepada syaitan laknatullah di atas sifatnya yang sombong, degil dan dengki.
Firman Allah: “Pergilah, siapa di antara mereka yang mengikuti kamu maka sesungguhnya neraka jahanam adalah balasanmu semua, sebagai suatu pembalasan yang cukup.” Lalu Iblis Azazil dihalau dari syurga.
Allah berfirman (Shaad:77-78):
“Kalau demikian, keluarlah engkau dari syurga, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang direjam. Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat-Ku terus menerus hingga ke hari kiamat.
Alam syaitan yang ghaib itu berpusat di empayar Iblis. Iblis laknatullah mengetuai kerajaannya selaku maharaja hingga ke hari kiamat. Ianya tiada pilihanraya di mana ada syaitan yang mencabar kerusinya. Iblis duduk di singgahsana memberi arahan dan terima laporan daripada syaitan yang berkhidmat untuknya, persis seorang presiden sebuah negara. Iblis mempunyai barisan menteri kanan yang setiap satunya mempunyai kerajaan tersendiri yang bernaung di bawah empayar Iblis.
Lima menteri kanan itu terdiri daripada anak-anaknya sendiri. Mari kita mengenali menteri-menteri ini:
1. Dasim
Malaun ini dikatakan anak emas Iblis laknatullah. Kenapa? Dasim serta seluruh rakyat kerajaannya berperanan memutuskan ikatan perkahwinan. Iblis sangat benci, berang dan dengki setiap kali ijab kabul dilafazkan. Si laknat ini tidak mengenal erti putus asa dalam menimbulkan rasa benci dan marah antara suami isteri. Apabila lafaz talak dijatuhkan, maka itulah kemuncak kegemilangan bagi kerajaan Dasim yang terkutuk.
2. Al-A’war

Membentuk dan memudahkan laluan zina dan keruntuhan moral ialah tugas kementerian si durjana ini. Gembiralah Iblis apabila zina berleluasa dan lahir anak-anak luar nikah, kerana itu petanda keturunan Adam pincang.
3. Maswath
Anak Iblis yang satunya ini merupakan pakar jurusan menipu. Dia dan pengikutnya sentiasa membisikkan fitnah, khabar angin dan penipuan sehingga tersebar luas dalam kelompok manusia. Permusuhan dan sangka buruk sesama manusia merupakan matlamat hidupnya.

4. Zalnabur
Si terkutuk ini pula dan kakitangannya berkeliaran menghasut manusia hingga tercetusnya caci-maki, pertengkaran dan pembunuhan. Pusat operasinya adalah di tempat-tempat tumpuan orang ramai, seperti di pasar atau shopping mall.

5. Tsaba
Geng syaitan ini memburu orang yang ditimpa musibah atau masalah. Mangsa banjir, mangsa tanah runtuh, mangsa rogol mahupun mereka yang kematian orang tersayang termasuk dalam senarai ‘most wanted’ Tsaba. Mempraktikkan strategi yang menimbulkan buruk sangka terhadap Allah, manusia yang terpedaya akan mengeluh atas takdir diri dan menyalahkan Allah s.w.t. atas semua yang terjadi.
Tidak ada yang terlepas dari gangguan syaitan kecuali mereka yang dilindungi Allah s.w.t. Sebenarnya sejak dilahirkan, setiap bayi ditemani seekor syaitan bernama ‘qarin’ (syaitan ini umpama ‘baby sitter’ berbanding syaitan-syaitan lain yang mempunyai tugas tersendiri). Hanya selepas nyawa terpisah dari badan, tugas ‘qarin’ dikira beres.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tangisan bayi ketika kelahirannya (adalah akibat perbuatan jahat) dari syaitan.” (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
“Setiap anak Adam pasti akan ditusuk di bahagian tepi (badannya) dengan jari-jarinya (Iblis) ketika dilahirkan, melainkan Isa bin Maryam sahaja. Iblis telah cuba melakukan tusukan tetapi tusukannya telah terhalang”. (Riwayat Al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.)

Khamis, 30 September 2010

Sirah : Surah Taha Dan Umar Al-Khattab



kisah sirah yg ingin dikongsikan bersama…
KISAH Saidina Umar yang berdepan dengan adiknya, Fatimah yang telah memeluk Islam yang dikira sebagai satu penghinaan kepadanya amat diketahui umum.
Namun sebelum itu, dikisahkan bahawa Umar telah ditegur oleh lelaki dari Bani Zuhrah atau Makhzum, bernama Nu’aym bin Abdullah yang memecahkan rahsia mengenai adiknya yang telah memeluk Islam itu.
Dalam sesetengah riwayat yang lain, dikatakan Nu’aym sebenarnya terdiri dari kalangan kafir Quraisy, bukan yang telah memeluk Islam seperti yang disebutkan sebelum ini.
Maka Nu’aym bertujuan menyindir Umar mengenai Fatimah yang memeluk Islam ketika Umar tergesa-gesa dan beria-ia hendak membunuh Nabi Muhammad. Apapun niat sebenar Nu’aym itu, menyebabkan Umar mengamuk setiba di rumah adiknya itu.
Umum mengetahui bahawa Fatimah dan suaminya Saad adalah kalangan yang terawal memeluk Islam malah dikatakan kekuatan iman suaminya itu antara 10 orang yang dijamin memasuki syurga.
Ketika Umar sampai ke rumah adiknya itu, beliau terdengar suara yang sedang membaca al-Quran. Iaitu Fatimah dan suaminya sedang belajar membaca al-Quran dengan dibantu oleh seorang sahabat mereka, Khabbab bin Arat.
Khabbab dikatakan dihantar sendiri oleh Nabi Muhammad untuk membantu atau mengajar Fatimah dan Saad membaca al-Quran.
Apabila terdengar mereka membaca al-Quran, kemarahan Umar tidak boleh ditahan-tahan lagi lalu dia mengamuk di hadapan pintu rumah Fatimah.
Semua yang ada dalam rumah itu begitu terkejut dan wajah masing-masing pucat lesi. Namun Fatimah dengan segera menyembunyikan Khabbab dan membuka pintu untuk menghadapi apa juga kemungkinan yang akan berlaku apatah lagi abangnya itu terkenal dengan sikap kejam, tegas dan garang tanpa mengira sesiapa.
Tanpa banyak soal Umar terus bertanya kepada Fatimah: “Apa yang aku dengar tadi?”
“Tidak ada apa-apa!” Kata Fatimah dengan wajah yang agak selamba.
“Aku telah mendengar tadi, jangan bohong! Adakah bacaan yang aku dengar tadi adalah dari Muhammad?” Bentak Umar.
Adik dan ipar Umar menjadi serba salah untuk menjawab.
Lalu Umar bertanya terus kepada iparnya: “Adakah kalian sudah murtad?”
Tanpa sebarang ragu-ragu Saad pun menjawab dengan tenang: “Kami tidak murtad wahai Umar tetapi kami semua telah masuk Islam.”
Belum sempat Saad menyudahkan kata-katanya itu, satu tamparan yang kuat telah singgah ke mukanya sehingga berdarah hidung suami Fatimah itu.
Malah dalam sesetengah riwayat yang lain, Umar bukan sahaja menampar adik iparnya itu malah diterkamnya Saad lalu dihenyak-henyak dengan kakinya sehingga berdarah-darah.
Melihat suaminya teruk dicederakan Umar, Fatimah pun cuba menghalang abangnya itu daripada terus mencederakan Saad. Ini menyebabkan Umar bertambah marah malah adik kesayangannya itu turut menjadi mangsa.
Fatimah juga menurut riwayat Ibnu Ishaq telah teruk dipukul oleh abangnya sehingga cedera dan berdarah. Kejadian teruk dipukul oleh Umar ini menyebabkan Fatimah menangis, bukan kerana menanggung kesakitan tetapi sedih mengenai sikap abangnya itu yang begitu kuat memusuhi Islam.
Sehinggakan adik dan ipar sendiri sanggup dipukul malah dibunuh jika tidak menjadi halangan.
Tangisan Fatimah itu akhirnya menyebabkan hati Umar bertukar menjadi sayu, lembut dan simpati terhadap adiknya itu.
Lalu Umar berkata: “Baiklah, tunjukkan kepada aku helaian yang kamu baca tadi!”
Tetapi Fatimah berkeras tidak mahu menyerahkan helaian-helaian yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran kerana akan diapa-apakan oleh Umar.
Ini menyebabkan Umar terpaksa bersumpah: “Demi Latta dan Uzza, aku tidak akan buat sesuatu yang tidak baik terhadap apa yang kamu baca sebentar tadi!”
Apabila Fatimah melihat Umar semakin lembut, dia pun akhirnya terpaksa berterus terang kepada abangnya itu: “Wahai saudaraku, helaian ini merupakan kata-kata Allah. Oleh kerana engkau bukan kalangan dari orang Islam malah seorang yang masih syirik sedangkan syirik itu merupakan najis.
“Kalau benar engkau hendak membacanya maka hendaklah kamu mandi terlebih dahulu kemudian barulah engkau boleh membacanya.”
Oleh kerana Umar begitu tertarik untuk membaca apa yang telah dibacakan oleh adiknya itu, lalu Umar menuruti sahaja permintaan adiknya itu. Beliau segera mandi membersihkan diri dan bersiap sedia untuk membaca surah-surah al-Quran itu.
Umar yang tidak lagi menunjukkan sikap untuk terus berseteru kemudian diberikan satu helaian yang mengandungi sebahagian dari surah al-Taha. Iaitu ayat 14 yang bermaksud: Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingatiku.
Sejurus membaca ayat itu, Umar pun berkata: “Tidak sepatutnya yang empunya kata-kata ini disekutui. Alangkah indah dan mulianya kata-kata ini.”
Umar yang telah bertukar nada 360 darjah itu kemudiannya meminta untuk berjumpa sendiri dengan Rasulullah. Khabbab yang sedari tadi menyorok di rumah Fatimah itu pun keluar dan menawarkan diri untuk membawa Umar bertemu Nabi Muhammad.
“Terimalah berita gembira wahai Umar, sesungguhnya aku sentiasa mengharapkan doa Rasulullah agar engkau memilih jalan Islam akan menjadi satu kenyataan juga akhirnya,” kata Khabbab.
Lalu mereka menuju ke Darul Arqam, rumah milik seorang lagi sahabat, iaitu Al Arqam bin Abi Arqam yang menawarkan kediamannya sebagai pusat pengajian mengenai Islam yang diketuai dan dipimpin oleh Rasulullah.
Masih berpakaian baju perang lengkap pedang tersisip di pinggang, Umar dan Khabbab pun tiba di Darul Arqam yang dikatakan terletak agak tersorok di lereng Bukit Safa yang ketika itu telah tersebar berita mengenai baginda bakal diserang atau dibunuh oleh Umar.
Bersiap sedia
Maka seluruh para pengikut dan sahabat yang berada dalam Darul Arqam itu telah bersiap sedia untuk mempertahankan baginda lebih-lebih lagi bapa saudara baginda, Hamzah bin Abdul Mutalib. Tanpa mereka mengetahui apa yang telah terjadi di rumah adik Umar, Fatimah sebentar tadi.
Sebaik sahaja tiba, Umar pun mengetuk pintu dan menyatakan hajat untuk menemui Rasulullah.
Serentak itu juga, Hamzah bangun dan cuba untuk menghunuskan senjata.
“Biar aku yang bunuh Umar ini dengan pedangku ini,” tegas Hamzah.
Hamzah merupakan satu-satunya lawan atau seteru yang dikatakan boleh mengalahkan Umar walaupun di seluruh kota Mekah, Umar dikatakan seorang yang sangat gagah dan perkasa.
Seperti yang kita selalu baca sebelum ini ketokohan dan kegagahan Hamzah tiada tolok banding malah sanggup menggadaikan nyawa sehingga terkorban demi mempertahankan Islam. Tidak sekadar Nabi Muhammad itu merupakan anak saudaranya.
Namun baginda meminta supaya Hamzah tidak bertindak melulu sehinggalah baginda sendiri membuka pintu dan mempersilakan Umar masuk.
Hamzah terpaksa patuh dan masing-masing seperti menahan nafas apabila Nabi Muhammad memberanikan diri membuka pintu tanpa sebarang pengawal kerana mereka tahu Umar seorang yang sanggup melakukan apa sahaja, menurut nafsu dan amarahnya itu.
Sebaik sahaja Umar melangkah masuk dengan perawakannya yang gagah itu, beliau terus mendekati Nabi Muhammad. Lalu baginda terus memegang hujung baju Umar dan disentapnya dengan kuat sehingga Umar jatuh terduduk di hadapan Rasulullah.
Sambil duduk berhadapan dan bertentang mata dengan Umar, baginda pun bertanya: “Bila lagi kamu hendak menerima Islam wahai Ibnu Al Khattab? Adakah kamu hendak menunggu sehingga ditimpa bala dan ancaman dari Allah? Sebagaimana yang menimpa Al Walid bin al Mughirah? Ya Allah, inilah Umar bin Al Khattab, Ya Allah muliakan Islam dengan Umar bin al Khattab ini!”
Tanpa sebarang banyak pertanyaan apatah lagi cuba melawan lalu Umar pun melafazkan kata-kata yang sangat mengejutkan semua pihak.
“Aku menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan engkau Muhammad adalah Rasulullah!”
Betapa bersyukur seluruh alam apabila Umar yang keras bak batu itu akhirnya tunduk kepada keesaan Allah.
Pengislaman Umar itu tentunya menimbulkan pelbagai reaksi selain begitu mengejutkan orang ramai.
Ikuti keluaran akan datang, bagaimana pengislaman Umar itu memberikan impak yang sangat besar terhadap perkembangan Islam itu sendiri.
Sebelum itu, ingin mengenali Umar dengan lebih dekat lagi?
Seperti yang dipetik dari buku Sejarah Khalifah Rasulullah karya Prof. Dr. Amin Qudah (Terbitan PTS 2009) Umar seperti yang diceritakan sendiri oleh anaknya Abdullah.
“Beliau seorang lelaki yang berkulit putih kemerah-merahan, tinggi dan botak kepalanya. Seorang yang sangat berbadan besar, apabila dilihat pada ketinggiannya itu seakan-akan nampak seperti orang yang sedang menaiki kenderaan. Bapa seorang yang kidal dan mempunyai suara yang kuat dengan kewibawaan yang sungguh jelas dan ketara”.
sumber – utusan malaysia

Isnin, 30 Ogos 2010

Makanlah Yang Halal dan Baik..



Allah berfirman:
"Hai manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan jangan kamu mengikuti jejak syaitan karena sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang-terangan bagi kamu." (al-Baqarah: 168)

Penggunaan telur ayam yg belum dibersihkan adalah suatu perbuatan yg jelik dan menjijikkan sama seperti pengusaha makanan yg tidak menjaga kebersihan kuku, ada tangan yg bernanah atau persekitaran memasak yg dipenuhi lipas dan tikus. Oleh itu basuhlah bagi mengelakkan penyakit was2 yg menjadi mainan syaitan. Oleh Itu, basuhlah dahulu telur sebelum dimasak..

Rabu, 25 Ogos 2010

KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.
Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:
· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..
· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di
antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..
Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)
Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)
Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.
Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah
1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.
3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.
4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.
Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Sumber : Portal JAKIM


Khamis, 19 Ogos 2010

Khasiat Madu..



Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa minum madu setiap bulan dengan niat melakukan nasihat Al-Quran, maka Allah SWT akan menyembuhkannya dari 77 penyakit".

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa ingin memiliki hafalan yang kuat hendaklah dia meminum madu".

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sebaik-baik minuman ialah madu kerana dia dapat mengkonsentrasikan hati dan menghilangkan dingin yang ada di dalam dada".

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Allah SWT telah meletakkan berkat di dalam madu dan menjadikannya sebagai ubat dari rasa nyeri, dan madu telah didoakan oleh 70 Nabi".

Dari Imam Ali, beliau berkata: "Madu adalah ubat dari segala penyakit, tiada penyakit di dalamnya, ia dapat menghilangkan lendir dan membersihkan hati".

Dari Imam Ja'far Ash-Shadiq, beliau berkata: "Rasul SAW sangat menyenangi madu".

Dari Imam Ja'far Ash-Shadiq, beliau berkata: "Biasakanlah dirimu memperoleh dua ubat iaitu meminum madu dan membaca Al-Quran".

Jumaat, 12 Mac 2010

Selamat Bercuti Murid - Murid Ku sayang..




Keluarga yang bahagia menjadi idaman orang yang akan berkeluarga dan yang sudah berkeluarga. Mereka mengidamkan agar hubungan kekeluargaan antara anak-anak dan ibu bapa menjadi sangat rapat dan erat. Segala masalah keluarga cuba dihadapi bersama. Mereka menginginkan supaya kehidupan keluarga mereka sentiasa dipenuhi dengan gelak tawa dan suasana yang ceria. Bagi anak-anak, mereka mengharapkan agar ibu bapa mereka akan sentiasa mempunyai masa untuk bersama dengan mereka supaya mereka dapat bermesra dan bergembira bersama mereka. Lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang masih bersekolah, pada musim cuti sekolah ini, mereka mengharapkan agar ibu bapa mereka dapat meluangkan masa bersama-sama dengan mereka, Di sini dicadangkan beberapa tips untuk menikmati percutian yang hebat dan selamat :
  • Lakukan aktiviti bercorak keluarga seperti berjalan-jalan, jogging, berkebun, mengajar memasak dan bertukang kayu.

  • Bawa keluarga melancong dalam negeri. Lawatlah tempat-tempat yang menarik di seluruh negara bersama anak-anak. Kalau anda kurang mampu, bawalah anak-anak berkelah ditepi pantai atau taman rekreasi.

  • Bersukan atau bermain bersama anak-anak. Ajar anak-anak permainan tradisional.

  • Menonton bersama anak-anak. Apabila menonton televisyen bersama, bincang dengan anak-anak rancangan yang ditonton serta iklan-iklan yang disiarkan.

  • Makan bersama semua ahli keluarga. Ahli-ahli keluarga berpeluang menjalinkan kemesraan pada waktu makan.

  • Kalau ada perpustakaan awam yang berhampiran anda, bawalah anak-anak ke sana dan tanamkan tabiat membaca

  • Kalau anda mempunyai kemudahan internet di rumah, jelajahlah dunia maklumat bersama anak-anak.

  • Menggalakkan anak-anak mengasah bakat mereka dengan menghadiri kelas tarian, kelas vokal, kelas muzik dan kelas drama

  • Menggalakkan anak-anak menghadiri aktiviti-aktiviti sihat seperti kelas bela diri, sukan dan permainan, kembara dan lawatan.

Usaha Berganda Harimau Luka.

Pasukan bolasepak SK Taman Ehsan sedang gigih menjalani latihan untuk menghadapi Kejohanan Bolasepak Peringkat zon Kuang tidak lama lagi.

Harapan kami pasukan ini sekurang - kurangnya dapat ke separuh akhir pada tahun ini.


Selasa, 9 Mac 2010

Tazkirah... : Menguap!!



Tajuk :
Menutup Mulut Apabila Menguap
Hadith :
Dari Abu Sa’id al-Khudri, dari bapanya r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Apabila seseorang kamu menguap, maka hendaklah ia menutup mulutnya kerana syaitan dapat masuk.”
(Muslim)
Huraian
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Menguap (dengan mulut terbuka luas) merupakan gangguan dari syaitan. Apabila ada di antara kamu yang menguap maka hendaklah dia menutup mulutnya mengikut kemampuan. (Muslim)

Dari Abu Said Al-Khudri r.a dari Nabi saw ia bersabda:
“Jika ada di antara kamu menguap, tutuplah mulutmu kalau-kalau syaitan masuk..(Abu Dawud]

Terdapat beberapa hadith lain lagi yang berkisar perihal menguap dan adab-adabnya. Dan kesemua hadis-hadis tersebut membawa kepada satu makna, iaitu Islam tidak suka seseorang menguap tanpa menutup mulut apatah lagi ketika sembahyang.