Selamat Datang Ke "SEGAR BERTAKHTA DI HATI"

Isnin, 26 Mei 2008

Tatapan untuk semua

SEMUA orang mengimpikan kejayaan dan kecemerlangan di dalam apa juga lapangan yang mereka ceburi. Bagi seorang pelajar, kejayaan bermakna mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Namun begitu, ramai yang berpendapat amatlah sukar untuk mencapai kecemerlangan ini. Benarkah tanggapan ini?Islam adalah agama yang mementingkan umatnya menuntut ilmu pengetahuan. Seorang yang berilmu lebih ditakuti oleh Syaitan daripada seribu orang ahli ibadah. Dari wahyu yang pertama lagi, penekanan terhadap menuntut ilmu sudah diberitakan oleh Allah. Dan Islam juga telah memberi garis panduan bagi kita untuk mencapai kecemerlangan di dalam menuntut ilmu. Di sini, saya sertakan apa yang telah saya pelajari dari sebuah ceramah yang saya hadiri, yang disampaikan oleh Ustaz Dr Badrul Amin, seorang penceramah yang tidak asing lagi di kalangan remaja dan pelajar semua.

ASAS KECEMERLANGAN SESEORANG ISLAM
Untuk cemerlang dalam pelajaran, seseorang pelajar Islam mesti mempunyai sifat-sifat yang disebutkan di bawah ini:
1. Beriman2. Berilmu3. Beramal
Ketiga-tiga sifat ini bukan saja kunci kejayaan bagi seorang pelajar Islam, tetapi ia juga kunci kejayaan di dalam semua bidang.



IMAN
Setiap pelajar Islam mestilah mempunyai kepercayaan dan keyakinan penuh kepada Allah. Untuk itu, hendaklah seseorang pelajar itu memahami kandungan Rukun Iman, iaitu percaya kepada Allah, malaikat Allah, rasul-rasul Allah, kitab-kitab Allah, hari kiamat dan takdir Allah. Pelajar janganlah letakkan keyakinan dan kepercayaan ke atas perkara lain yang tidak disebutkan di atas ini.
Percaya kepada AllahKita mesti yakin bahawasanya Allah adalah tuhan kita, dan tiada tuhan selain Allah Yang Esa. Inilah perkara pertama yang Rasulullah s.a.w. ajarkan kepada umat manusia, iaitu ilmu Tauhid, ilmu mengenal Allah. Allah memiliki segala-galanya dan berkuasa di atas segalanya. Apa yang kita miliki, seperti kekuatan dan kepandaian sebenarnya bukanlah milik kita, tetapi ia adalah hak mutlak Allah. Allah boleh mengambil kembali nikmat-nikmat ini daripada kita dengan sekelip mata saja. Sebab itulah kita digalakkan supaya banyak bersyukur di atas segala pemberian-Nya dan mengikiskan sifat sombong yang ada dalam diri kita.
Percaya kepada RasulAllah telah mengutuskan para Rasul untuk mengajar dan memimpin manusia ke jalan yang benar. Mereka membawa bersama mereka ajaran agama untuk disampaikan kepada manusia. Selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w., para ulama menggantikan tempat baginda. Oleh itu, kita mesti menghormati para ulama dan asatizah kita dan selalu berdamping dengan mereka.
Percaya kepada Kitab-kitab Allah.Allah telah menurunkan kitab-kitab-Nya kepada manusia sebagai panduan. Kitab-kitab Allah yang wajib kita ketahui ialah Taurat (diturunkan kepada Nabi Musa a.s.), Zabur (Nabi Daud a.s.), Injil (Nabi Isa a.s.) dan Al-Qur’an (Nabi Muhammad s.a.w.). Apabila Al-Qur’an diturunkan, secara automatis ia membatalkan kitab-kitab yang terdahulu kerana Al-Qur’an adalah the latest edition of God’s Book, maka kitab-kitab terdahulu menjadi obselete. Seperti juga bila komputer Pentium muncul di pasaran, komputer model 486 tidak lagi digunakan kerana sudah lapuk dan ketinggalan zaman untuk kegunaan hari ini.Setiap orang Islam digalakkan untuk membaca dan menguasai Al-Qur’an kerana ia mendatangkan kesan yang positif ke atas minda. Di dalam sejarah manusia, hanya orang Islam saja yang dapat menghafal kitab agama mereka, iaitu kitab Al-Qur’an. Ini adalah suatu pencapaian yang tidak dapat dilakukan oleh penganut agama-agama lain. Malah, seorang pendakwah Islam dari Afrika Selatan bernama Ahmad Deedat, bukan saja berjaya menghafal Al-Qur’an, malah dia juga dapat menghafal kitab Bible yang orang Kristian sendiri tidak berjaya menghafal. Kebolehannya ini membolehkan beliau berdakwah dan berhujah kepada orang Kristian, dengan menggunakan dalil-dalil dari Al-Qur’an dan Bible.

Petua menguatkan akalMembaca Al-Qur’an dapat menguatkan akal pembacanya. Ustaz Badrul Amin kemudian menerangkan petua untuk menguatkan akal:

1. Selepas membaca Al-Qur’an, baca surah Al-Fatihah sekali.2. Kemudian letakkan tapak tangan di atas ubun-ubun kepala lalu ucapkan "Ya Qawiy" 14 kali dalam satu nafas. "Qawiy" bererti "Yang Kuat", dan ia adalah salah satu daripada 99 nama Allah.3. Selepas itu, tangan masih di atas kepala, ucapkan "Ya Matin" 14 kali dalam satu nafas. "Matin" juga adalah nama Allah yang bererti "Yang Teguh".4. Banyakkan memakan makanan manis yang bukan sugar-based, seperti kismis, madu, kurma dan sebagainya. 5. Kurangkan memakan makanan masam.
Dengan mengamalkan petua ini, mudah-mudahan para pelajar semua dapat mempertingkatkan kekuatan dan keteguhan minda agar dapat memahami dan menghafal fakta-fakta pelajaran dengan lebih berkesan lagi.

ILMU
Untuk menjadi pelajar cemerlang, sifat cinta pada ilmu mestilah ada. Ilmu yang dimaksudkan di sini bukanlah sekadar ilmu duniawi, tetapi ilmu ukhrawi juga perlu juga. Ilmu, walaupun apa bentuknya, berasal dari sumber yang satu, iaitu dari Allah. Pelajar mestilah ghairah menuntut ilmu, dan ilmu yang ingin dipelajari itu mestilah ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang dapat mengangkat martabat kita, baik di dunia mahu pun di akhirat. Ini termasuk juga ilmu sekular seperti Matematik dan Sains. Ilmu yang merendahkan martabat kita, seperti ilmu menipu dan mencuri, tak usahlah dituntut.
Enam syarat untuk menguasai ilmuDari sebuah syair tulisan Imam As-Syafie (terjemahan oleh Ust. Badrul Amin):
Wahai pelajar zaman sekarang Menuntut ilmu bukanlah senangEnam syarat mesti dipegangKalau nak jadi pelajar cemerlangAkal yang sihat paling utamaTamak haloba mesti bersamaTabah dan sabar, wang pun adaPetunjuk guru, masa yang lama.

1. Akal yang sihat
Kesihatan akal adalah sesuatu yang sangat utama. Sebab itulah Islam mengharamkan melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan akal, seperti meminum arak, menyalahgunakan dadah dan sebagainya. Selain daripada itu, Islam juga mengharamkan apa juga jenis hiburan yang melalaikan kita daripada melaksanakan kewajipan kita sebagai orang Islam. Hiburan yang keterlaluan boleh membuat kita khayal dan ada juga yang boleh merosakkan pemikiran kita, seperti bahan-bahan lucah dan porno. Filem-filem bercorak khayalan seperti filem science fiction/fantasy misalnya memberikan gambaran realiti yang salah dan boleh mempengaruhi fikiran kanak-kanak. Akibatnya, berlakulah peristiwa seperti kanak-kanak yang terjun dari tempat tinggi selepas menonton filem-filem seperti Superman kerana ingin meniru aksi wira filem tersebut.

2. Sifat tamak dalam mencari ilmu
Sifat tamak,jika digandingkan dengan proses menuntut ilmu, menjadi satu sifat yang sangat mulia. "Tamak" bermaksud tidak cukup dengan apa yang ada. Ini bermakna, di dalam mencari ilmu, kita mesti tanamkan sifat tidak puas dan selalu tidak cukup. Tetapi hendaklah dimaklumkan, "tamak" bukan bermaksud "kedekut". "Kedekut" ertinya bakhil, tidak mahu memberi. Sifat kedekut dalam mencari ilmu adalah ditegah. Padahal, semakin banyak ilmu yang kita kongsi bersama, semakin banyak yang akan kita pelajari darinya.

3. Tabah dan sabar
Tidak dapat dinafikan bahawa belajar bukanlah sesuatu yang mudah. Memang kita selalu saja mendapati yang ada kalanya kita tidak dapat memberi tumpuan yang sewajarnya kepada pelajaran, mungkin akibat terlalu penat dan sebagainya. Hendaklah kita sentiasa tabah dan sabar di dalam mengharungi dugaan ini. Biarlah kita bersusah-susah dahulu, asalkan bersenang-senang di kemudian hari. Janganlah cepat patah semangat dan putus-asa, kerana untuk mendapatkan hasil yang kita ingini, hendaklah dengan kesabaran. Ia adalah seperti menunggu buah durian gugur dari pohonnya. Seandainya buah itu dijolok sebelum masanya untuk gugur, buah durian tadi tetap tidak boleh dimakan kerana masih belum masak. Samalah juga seperti menuntut ilmu yang juga memerlukan ketabahan dan kesabaran.

4. Faktor wang
Faktor kewangan merupakan sesuatu yang penting juga di dalam menuntut ilmu. Wang diperlukan untuk membayar yuran sekolah dan membeli peralatan sekolah seperti buku, alatulis dan sebagainya. Pelajar yang mempunyai masalah kewangan selalunya terpaksa menghadapi banyak masalah untuk meneruskan pelajaran mereka.Namun begitu, terlalu banyak wang juga boleh mendatangkan masalah. Bila wang sudah ada di tangan, seseorang akan berfikiran yang bukan-bukan. Wang dibelanjakan kepada perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat, seperti membeli rokok dan melepak di tempat-tempat seperti arked, pusat membeli-belah dan panggung wayang. Para pelajar juga digalakkan untuk mengamalkan budaya menabung wang untuk memupuk sifat berjimat cermat dan tidak boros di dalam berbelanja.

5. Petunjuk guru
Islam memberi penghormatan kepada insan bergelar guru. Islam mengajar kita supaya sentiasa menghormati guru kita, tidak kira apa matapelajaran yang diajarnya. Adalah menjadi pantang bagi anak murid untuk melawan atau menderhaka kepada guru. Seorang murid yang memusuhi gurunya tidak akan mendapat keberkatan (irsyad) dari ajaran gurunya itu. Kebelakangan ini, kita sering terbaca kisah-kisah murid yang melawan guru. Malah ada juga ibu bapa yang bergaduh dengan guru anak-anak mereka kerana tidak setuju dengan kaedah displin yang dikenakan oleh guru ke atas anak-anak mereka yang nakal. Ini adalah suatu perkembangan yang menyedihkan.Istilah guru ini juga termasuk ibu kita kerana ibu adalah guru kita yang pertama mendidik kita. Maka seorang pelajar juga mesti menjaga hati ibunya, dan juga hati guru-gurunya.

6. Masa yang lama
Kalau diperhatikan proses pendidikan di sekolah, kita dapati ia mengambil masa yang agak lama; 6 tahun di peringkat rendah dan 4 tahun di peringkat menengah. Ilmu tidak dapat ditimba dalam masa yang singkat. Seseorang yang ingin menuntut ilmu hendaklah mengorbankan masa yang agak lama. Untuk menjadi doktor, seseorang itu mesti belajar hingga ke peringkat universiti dan lulus dengan ijazah. Proses ini mengambil masa sekurang-kurangnya 15 tahun jika dikira dari peringkat darjah satu. Untuk menjadi seorang alim (plural: ulama) pula, tidak cukup dengan belajar ilmu ukhrawi selama dua atau tiga tahun saja.Demikianlah penjelasan 6 syarat yang diajarkan oleh Iman As-Syafie kepada kita menerusi syairnya itu.

AMAL
Selain daripada beriman dan berilmu, seorang pelajar cemerlang juga mestilah beramal soleh. Rukun Islam mesti dipelajari dan diamalkan. Solat fardhu janganlah ditinggalkan, biarpun sibuk macam mana sekali pun. Sebagai seorang pelajar yang beragama Islam, seseorang itu mesti mempunyai pendirian yang teguh dan tidak boleh kompromi mengenai perkara yang bersangkut dengan ajaran dan amalan Islam.Selain dari solat, seorang pelajar yang mahu cemerlang mestilah memperbanyakkan berdoa dan meminta kepada Allah. Allah amat menyayangi hamba-hamba-Nya yang selalu meminta kepada-Nya. Pada waktu yang sama, ambillah sedikit masa untuk belajar dan mengamalkan doa-doa harian.Seorang pelajar yang mahu cemerlang juga mesti mencegah dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang haram. Cubalah hindarkan diri dari melakukan dosa kecil mahupun dosa besar.Dengan mengikuti panduan ini, insya-Allah, jiwa dan akal kita akan dapat ditumpukan sepenuhnya untuk belajar. Dengan bantuan Allah, tidak mustahil semua pelajar Islam dapat menjadi pelajar cemerlang.

Tiada ulasan: