Selamat Datang Ke "SEGAR BERTAKHTA DI HATI"

Khamis, 31 Julai 2008

ISRAK DAN MIKRAJ


ISRAK Mikraj adalah dua peristiwa kembar menakjubkan yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW pada malam 27 Rejab. Peristiwa yang sangat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad itu dianggap sebagai penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurniaan Allah kepada Baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan Allah. Israk bererti perjalanan Nabi dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis di Palestin.


Peristiwa ini terakam di dalam al-Quran, seperti firman Allah bermaksud:

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." – (Surah al-Israa', ayat 1).


Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Baginda dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit ketujuh, dekat singgah sana Allah seperti yang digambarkan oleh al-Quran yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain iaitu di Sidratil Muntaha. "Dekatnya ada syurga tempat tinggal, (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya.
"Penglihatan (Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. "Demi sesungguhnya Baginda telah melihat sebahagian daripada sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya." – (Surah an-Najm, ayat 13-18). Sidaratil Muntaha adalah tempat yang paling tinggi di atas langit ketujuh, yang dikunjungi Nabi Muhammad ketika Mikraj.


Oleh itu, Israk Mikraj dapat disimpulkan sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Baginda kemudian naik ke langit sampai ke Sidratil Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama. Antara pengajaran peristiwa Israk Mikraj:
Manusia hendaklah sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik ketika ditimpa kesusahan mahupun mendapat kesenangan. Perkara ini penting kerana hanya Allah yang berkuasa memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, duka cita dan kesusahan pada diri manusia.
Nabi juga ditimpa beberapa musibah sebelum berlakunya Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk Mikraj iaitu untuk berhadapan dengan Allah.


Perkara itu memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan. Caranya ialah dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya, di samping terus meningkatkan ketakwaan dan amal ibadat.
Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Sewaktu Israk Mikraj, tepatnya ketika Nabi diajak meninjau keadaan neraka, Baginda ditunjukkan pelbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh pelbagai kaum, akibat kejahatan yang pernah mereka lakukan di dunia.Misalnya, Rasulullah diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut seperti sedia kala.Nabi juga melihat bentuk penyeksaan yang lain seperti seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat dan yang suka memfitnah.Ini semua memberi iktibar supaya kita yang hidup di dunia ini tidakmelakukan segala perbuatan tercela dan pekerjaan lain yang jelas dilarang Allah. Mereka akan mendapat seksaan di akhirat nanti sekiranya melakukan perbuatan yang dilarang Allah.


Perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan ketentuan mengenainya.
Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agarkeyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia.Perkara ini perlu dilaksanakan oleh setiap umat Islam kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi akan keagungan dan pelbagai keajaiban ciptaan- Nya di alam tinggi bernama langit seperti Sidratil Muntaha dan syurga.
Anjuran memberi salam. Sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang Baginda temui. Hal ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.


Mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir berlaku kiamat.Hakikat ini memperingatkan setiap Muslim bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanya bersifat sementara. Hanya ketakwaan dan amal salih menjadi bekalan untuk ke akhirat.


Berwaspada dengan rayuan dan tipu daya iblis, di mana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi jin ‘Afrit' telah mengejar Baginda dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi dan berusaha memperdayakan Baginda.Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara..


Tiada ulasan: